Sedar atau tidak, setiap organisasi mempunyai budaya. Budaya di dalam sesuatu organisasi digerakkan oleh ahlinya. Budaya yang bagus ini akan membuatkan sesuatu organisasi bertambah menjadi lebih baik dari semasa ke semasa. Di rumah, semua orang ada budaya tersendiri. Ada keluarga jadikan solat berjemaah dan membaca al-Quran di awal pagi sebagai budaya. Maka keluarga tersebut akan menjadi cerminan budaya yang mereka amalkan saban hari. Di dalam syarikat juga tidak terkecuali dengan budaya.

Ada sesetengah syarikat, ia menjadikan ketelusan sebagai satu budaya. Contohnya syarikat perisian Buffer, semua pihak dari pengurus atasan sampai ke pekerja biasa, sangat telus di dalam gerak kerja mereka. Ada sesetengah syarikat, contohnya seperti syarikat perisian kewangan Stripe, ia menjadikan menulis itu sebagai budaya. Bagi mereka, hanya mereka yang faham dengan sesuatu perkara boleh menulis dengan baik.

Syarikat Netflix yang diasaskan pada tahun 1997 mempunyai beberapa budaya yang sangat bagus. Salah satu pegawai sumber manusia (HR) mereka ketika ditemubual, salah satu sebab Netflix boleh adaptasi model bisnes dari menyediakan servis sewa video tape filem kepada platform tontonan filem online terbesar dunia adalah kerana budaya di syarikat mereka yang diamalkan oleh pekerjanya.

Di antara budaya pekerja Netflix, mereka boleh memotivasikan diri sendiri, mereka boleh disiplinkan diri sendiri, mereka tahu apa nak dibuat tanpa perlu diarahkan, mereka sentiasa memperbaiki diri, sentiasa bertindak sebagai pemimpin dan apabila ada sampah, mereka akan kutip dan buang dalam tong sampah!

Budaya pekerja sebegini membuatkan Netflix sentiasa boleh sesuaikan dengan perubahan landskap industri mereka. Mereka tidak risau dengan kewujudan pesaing, perubahan industri atau penerimaan pelanggan, ini kerana pekerja mereka mempunyai budaya untuk jadi yang terbaik. Netflix sekarang mempunyai 139 juta pelanggan dari seluruh dunia yang membayar langganan setiap bulan.

Untuk perniagaan yang saya sedang usahakan, dari dulu saya cuba terapkan budaya yang positif terhadap pekerja. Budaya seperti membaca buku, sentiasa wujudkan diskusi, wujudkan suasana bimbingan di antara pekerja dan banyak lagi.

Bagaimana budaya sebegini boleh membantu syarikat? Contohnya, apabila setiap pekerja sentiasa membaca buku, ia menjadikan mereka dapat melihat sesuatu isu dari sudut pandangan yang berbeza. Sudut pandangan ini mereka boleh gunakan atau berikan pandangan kepada ahli pasukan lain untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Ia bukan sesuatu yang mudah untuk terapkan budaya sebegini, tetapi ia perlu diusahakan. Banyak syarikat di dunia menjadi syarikat terbaik kerana mereka mempunyai budaya kerjaya yang sangat bagus. Alhamdulillah, sejak akhir tahun lepas sehingga ke bulan ini, salah satu syarikat yang saya usahakan berjaya meraih jualan 6 angka setiap bulan. Jualan dan keuntungan bercambah secara konsisten setiap bulan.

Bayangkan, 14-15 bulan lepas, jualan syarikat hanyalah sekitar 4 angka sebulan. Salah satu sebab yang menyumbang kepada kejayaan ini adalah kerana wujudnya budaya yang boleh menolak syarikat untuk berjaya dengan lebih cepat. Malahan semua proses mengambil pekerja juga perlu merujuk kepada budaya yang kita telah tetapkan.

Walau sebagus mana mereka melakukan kerja, tapi jika mereka tidak boleh menyokong budaya yang telah ditetapkan, mereka tidak boleh menyertai syarikat saya. Ini kerana budaya yang bagus boleh menyumbang kepada perniagaan yang diusahakan!

Bisnes adalah seni.

Salam, saya Adly Mukhtar. Sebagai seorang usahawan, mengharungi jatuh bangun menjayakan bisnes demi bisnes adalah satu seni yang indah. Di ruang ini, saya akan berkongsi pelbagai dapatan yang dikutip sepanjang menjalankan bisnes.

Dapatkan notifikasi terus ke emel anda setiap kali artikel baru diterbitkan. Tiada spam dan langganan boleh dihentikan pada bila-bila masa. Hanya informasi berkualiti.