Saya selalu memantau katakunci yang berkaitan jenama produk-produk syarikat saya di sosial media. Ia adalah satu langkah penting untuk saya kenalpasti jika terdapat pelanggan yang tidak berpuas hati melontarkan pandangan mereka secara terbuka dimana-mana platform sosial media. Jadi, bolehlah saya menghubungi mereka untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh para pelanggan.

Saya tertarik dengan satu status Facebook yang memberi komen terbuka berkenaan harga bagi salah satu produk yang kami jual, katanya produk tersebut dijual dengan harga yang tidak munasabah, mahal atau dengan istilah zaman sekarang ialah harga yahudi. Lebih menarik apabila beliau cuba meneka berapa kos produk tersebut.

Bagi saya, ia adalah satu petanda bagus apabila orang mula bercakap mengenai jenama kita. Ia adalah satu pemasaran percuma. Sepertimana orang bercakap mengenai tudung yang mahal seperti Duckscarves atau telekung yang mahal seperti Siti Khadijah. Jenama mereka terus membangun dari semasa ke semasa.

Pada masa yang sama, orang awam atau peniaga kecil masih tidak faham bagaimana harga sesuatu produk itu ditetapkan. Ia bukanlah semudah dapat harga berapa dari kilang, kemudian tambah RM10, dapatlah harga jualan. Di dalam bisnes, ada ilmu khas berkaitan ‘pricing strategy’, kerana ada banyak sekali faktor yang terlibat sebelum kita menetapkan sesuatu harga produk.

Harga biasanya ditetapkan berdasarkan sasaran segmen pelanggan. Produk kita ingin disasarkan kepada golongan bawah, pertengahan atau atas. Setiap segmen, ada kehendak yang kita perlu penuhi dari segi kualiti, suasana, rekabentuk, rasa dan sebagainya, walaupun produknya sama.

Sebab itu produk yang sama, boleh mempunyai harga yang berbeza-beza. Harga teh o ais berbeza-beza mengikut tempat ia dijual. RM1.50 di gerai, RM3.00 di restoran, RM7.90 di kafe dan RM19.90 di hotel.

Kos produk bukan sekadar berkisar mengenai harga yang diperolehi dari kilang, ia juga tertakluk dengan kos pengangkutan, cukai, produk ‘reject’, kos sewa gudang, kos pemeriksaan kualiti, kos pengurusan dan macam-macam lagi. Kadang-kadang kos pemasaran dan penjenamaan juga perlu dimasukkan sekali. Jadi kos-kos sebegini bersifat subjektif, hanya pemilik bisnes sahaja yang mengetahuinya.

Harga sesuatu produk juga bergantung kepada strategi pemiliknya sama ada ingin menjual produk di dalam kuantiti yang banyak atau secara selektif (premium). Jika anda menonton siri Shark Tank, mana-mana produk yang tidak boleh dihasilkan secara banyak, maka mentor akan menasihatkan agar pemilik bisnes tersebut menaikkan harga produk agar margin keuntungan lebih selesa. Jika tidak, sukar perniagaan tersebut ingin mencatatkan keuntungan.

Ramai usahawan baru melakukan kesilapan di dalam meletakkan harga produk tanpa mengambil kira faktor-faktor di atas. Kes biasa berlaku, jualan produk banyak saban bulan, tapi tiada keuntungan kerana terlepas banyak kos-kos tersembunyi.

Bisnes adalah seni.

Salam, saya Adly Mukhtar. Sebagai seorang usahawan, mengharungi jatuh bangun menjayakan bisnes demi bisnes adalah satu seni yang indah. Di ruang ini, saya akan berkongsi pelbagai dapatan yang dikutip sepanjang menjalankan bisnes.

Dapatkan notifikasi terus ke emel anda setiap kali artikel baru diterbitkan. Tiada spam dan langganan boleh dihentikan pada bila-bila masa. Hanya informasi berkualiti.