Semalam saya telah menghadiri satu program berkenaan raih pelaburan untuk syarikat startup di Cyberjaya. Pengasas bersama The Lorry, Nadhir Ashafiq telah berkongsi pengalaman beliau meraih pelaburan dari peringkat awal bernilai RM80,000 hingga ke siri B yang bernilai RM24,000,000.

Perkongsian yang sangat baik, telus dan jelas dari kaca mata seorang pengasas syarikat startup. Banyak yang peserta boleh dapat kutip dari perkongsian perjalanan turun naik The Lorry meraih dana dari fasa ke fasa. Biasanya kita hanya dengar dan baca benda-benda indah sahaja apabila sesuatu syarikat berjaya meraih dana pelaburan.

Jadi terdapat dua aliran seseorang pengasas bisnes membangunkan syarikat mereka. Pertama, ada pengasas bisnes yang membangunkan bisnes dengan meraih dana demi dana, mungkin sehingga disenaraikan ke bursa saham (IPO). Setelah mendapat pelaburan bagi satu siri, mereka perlu mencapai angka-angka pertumbuhan tertentu sebelum dapat pelaburan pada siri seterusnya. Biasanya soal keuntungan bukan menjadi fokus utama, tapi mengembangkan bisnes tersebut adalah perkara yang lebih penting.

Contohnya seperti Uber, Lyft, Grab dan banyak lagi, semuanya beroperasi dengan mencatatkan kerugian. Tetapi dari segi jumlah pengguna, jumlah jualan dan pegangan pasaran sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Mereka ini boleh berkembang dengan sangat cepat, dalam masa kurang 5 tahun syarikat mereka boleh bernilai billion ringgit.

Syarikat yang mendapat pelaburan ini akan ‘bakar duit’ untuk kembangkan syarikat mereka dengan strategi masing-masing agar angka-angka pertumbuhan itu sentiasa menaik. Mereka akan masuk negara-negara lain, mereka akan gajikan lebih ramai pekerja yang berkebolehan dan banyak lagi. Pengasas bisnes akan benar-benar ditekan oleh pelabur. Jika gagal, syarikat mereka tidak akan berjaya meraih dana pada peringkat seterusnya. Pelabur sebelumnya akan mengalami kerugian.

Banyak juga syarikat yang berada di dalam zon ‘zombie’ dimana pertumbuhan syarikat mereka kurang memberangsangkan untuk mendapat dana pada siri seterusnya. Kos operasi terpaksa dikurangkan, pekerja terpaksa dibuang, pejabat terpaksa dipindahkan dan jika tidak bernasib baik, seluruh operasi syarikat perlu ditutup.

Pada sisi yang lain, ada pengasas bisnes yang membangunkan syarikat mereka secara organik. Perniagaan mereka dikembangkan berdasarkan keuntungan yang diperolehi, kredit oleh pembekal, pinjaman bank dan sebagainya, tanpa melibatkan dana pelaburan luar yang besar pada peringkat awal.

Syarikat sebegini biasanya mengambil masa yang lama untuk berkembang tetapi pertumbuhan mereka sentiasa ada dari tahun ke tahun. Minggu lepas saya bertemu dengan pengasas satu jenama pakaian terkenal di Malaysia dan Indonesia. Mereka mengambil masa 10 tahun untuk membuka 34 rangkaian kedai di seluruh Malaysia dan sebahagian kecil di Indonesia. Jualan mereka hampir RM100 juta setahun. Setakat ini, mereka masih belum mengambil dana pelaburan dari mana-mana institusi.

Pengasas bisnes yang berkembang secara organik biasanya lebih bebas membuat keputusan kerana tidak ditekan oleh mana-mana pihak. Namun, banyak juga bisnes yang telah masuk ke fasa selesa tanpa dapat menyerlahkan potensi mereka yang sebenar. Akhirnya, apabila landskap pasaran telah berubah, mereka gagal untuk terus hidup.

Akhirnya, terpulang kepada anda. Jalan manakah yang anda ingin pilih bagi bisnes yang anda jalankan. Setiap jalan ada kelebihan dan cabarannya yang tersendiri.

Bisnes adalah seni.

Salam, saya Adly Mukhtar. Sebagai seorang usahawan, mengharungi jatuh bangun menjayakan bisnes demi bisnes adalah satu seni yang indah. Di ruang ini, saya akan berkongsi pelbagai dapatan yang dikutip sepanjang menjalankan bisnes.

Dapatkan notifikasi terus ke emel anda setiap kali artikel baru diterbitkan. Tiada spam dan langganan boleh dihentikan pada bila-bila masa. Hanya informasi berkualiti.